KEJAYAAN Khalifah Abu Bakar as-Siddiq (10-13H) menyelesaikan pemberontakan golongan Riddah dan Nabi palsu pada zamannya, telah membolehkan Khalifah Umar al-Khattab (13-23H) meluaskan Wilayah Islam di luar Jazirah Arab. Antara sasaran Khalifah Umar al-Khattab ialah dua kuasa besar iaitu Rom di Barat dan Parsi di Timur Tanah Arab.
Gerakan pembukaan wilayah telah dibuat dengan beberapa ketumbukan tentera bergerak ke Utara terutama Wilayah Iraq iaitu Kufah dan Basrah, setelah Khalid al-Walid berjaya membuka Syam pada era Khalifah Abu Bakar. Khalifah Umar al-Khattab telah menemui Mutsanna bin Harithah, Abu Ubaid ats-Tsaqafi dan Sulaith bin Qais al-Ansari untuk menggerakkan cadangannya menakluk Iraq.
Rancangan menguasai Iraq ini sangat penting dalam sejarah Islam kerana ia menjadi pintu masuk bagi menghancurkan Parsi. Bahkan ia menjadi perlaksanaan terhadap janji Nabi S.A.W kepada Suraqah bin Malik untuk memakaikan gelang Kisra Parsi kepadanya.
Selepas Pasri jatuh dalam Perang Qadisiyah pada tahun 14H, Islam segera berkembang ke Asia Tengah dan juga India dalam masa yang relatifnya sangat cepat. Pada zaman Khalifah Ali bin Abu Talib (56-60H), Pusat Pentadbiran Kerajaan dipindahkan dari Madinah ke Kufah di Iraq, kemudian Baghdad menjadi Pusat Kekhalifahan Daulah Abbasiyah sehingga tahun 656H (1258M). Pandangan Khalifah Umar al-Khattab tentang kepentingan umat Islam menguasai Iraq adalah satu cetusan yang besar dalam sejarah Tamadun Islam.
Tentera Islam menuju ke Iraq: Mendepani kekuatan Parsi
Khalifah Umar al-Khattab telah melantik Abu Ubaid ats-Tsaqafi sebagai Panglima untuk membuka Iraq bersama Sulaith bin Qais al-Ansari. Pasukan awal bergerak ke Iraq dengan 7,000 tentera, kemudian bergabung dengan pasukan Khalid al-Walid yang datang lebih awal, Hasyim bin Utaibah pula memimpin 10,000 tentera yang lain, sedangkan 4,000 tentera lagi dikirim di bawah Jarir Abdullah al-Bajalli. Ketika ini, Ratu Buron baru dilantik sebagai Kisra Parsi dan negara mereka dalam keadaan berkrisis. Rustum pula diangkat oleh Kisra Parsi sebagai Panglima Perang mereka.
Dalam perjalanan untuk menakluk Parsi ini, telah berlaku beberapa perperangan iaitu Ma'rakah Namariq, Ma'rakah Saqathiyah dan Ma'rakah Parosma yang melibatkan penaklukan terhadap pasukan Parsi. Pertempuran (ma'rakah) yang lebih sengit berlaku di Sungai Furat yang dikenali sebagai Pertempuran Jambatan (Ma'rakah Jisr).
Tentera Parsi dipimpin oleh Bahman Jadzawih dengan pasukan bergajah, sedangkan 10,000 tentera Islam tidak pernah berhadapan dengan gajah sebelum ini menghadapi masalah kerana kuda-kuda perang Islam ketakutan dengan suara loceng pada gajah-gajah tersebut. Dalam perang ini, Abu Ubaid ats-Tsaqafi dan enam panglima penggantinya telah syahid bersama 6,000 tentera yang lain. Mutsanna bin Harithah yang menjadi panglima kelapan telah berjaya mengundurkan tentera Islam.
Ma'rakah Buwaib: Islam bangkit semula ke atas Parsi
Berita kekalahan tentera Islam dalam Ma'rakah Jisr telah menyebabkan Khalifah Umar al-Khattab segera mengirimkan beberapa ketumbukan tentera ke Iraq untuk membantu Mutsanna bin Harithah.
Sedangkan Komamdan Parsi, Mahran al-Hamdzani dikirimkan oleh Kisra Parsi untuk membantu tentera mereka. Mutsanna bin Harithah mengarahkan tenteranya berkumpul di Buwaib dan mereka bertemu dengan pasukan Parsi di situ dengan dipisahkan oleh sebatang sungai.
Pertempuran ini terjadi pada 14 Ramadan 13H, apabila pasukan Parsi pimpinan Mahran menyeberangi sungai menghadapi tentera Islam. Mutsanna bin Harithah bertakbir tiga kali sebagai persiapan perang, dan takbir keempatnya membuatkan pasukan Islam mula menyerang Parsi.
Perperangan tercetus dalam pelbagai penjuru, sehingga ada tentera Islam berjaya masuk dalam pasukan Parsi. Komandan-komandan Islam telah berjaya memainkan peranan masing-masing di bawah Panglima Mutsanna bin Harithah, yang menyebabkan pasukan Parsi mula berpecah dan mundur.
Kejayaan Mutsanna bin Harithah memutuskan jambatan di Sungai Furat telah menyebabkan tentera Parsi tersepit dan dapat dibunuh oleh tentera Islam. Seramai 100,000 tentera Parsi terbunuh dalam Ma'rakah Buwaib ini dan memberi kejayaan besar kepada Islam.
Sebaik tamat pertempuran di Buwaib ini, pasukan Islam terus bergerak menguasai Wilayah-wilayah Parsi dan akhirnya menguasai pasar di Khanafis, kemudian menguasai pasar Baghdad. Sesudah itu, Shifin pula jatuh ke tangan Islam.
Siri-siri kekalahan Parsi ini telah membolehkan pengaruh Islam melebar cepat ke Wilayah Majusi itu sehingga membawa kepada Perang Qadisiyah pada tahun 14H yang dipimpin oleh Saad bin Abi Waqqas, di mana Kerajaan Kisra Parsi berjaya ditumbangkan.
Kemenangan Islam dalam Ma'rakah Buwaib ternyata menjadi titik penting dalam perluasan Wilayah Islam ke Tengah Asia kemudiannya.
MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
14 Ramadan 1439 / 30 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 30/5/2018
Pusat Penyelidikan PAS
14 Ramadan 1439 / 30 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 30/5/2018
No comments:
Post a Comment