Thursday, May 31, 2018

ISLAM BERSIFAT UNIVERSAL ( ALAMIYYAH )


Dimaksudkan dengan universal itu bahawa Islam adalah sesuai untuk semua manusia dan semua tempat di dunia ini. Islam diturunkan untuk seluruh manusia tanpa ada perbezaan antara satu bangsa dengan bangsa lain, tanpa ada perbezaan antara satu keturunan, Bahasa, geografi dan sejarah yang lain.

Sifat universal Islam ini tanpa ada batasan waktu atau generasi tertentu tetapi sifat universal ini berterusan sehingga hari Kiamat. Sifat universal ini meliputi semua makhluk Allah SWT termasuk manusia, binatang dan juga tumbuh-tumbuhan. Sebab itulah dalam Islam, ketika dalam peperangan, tentera-tentera Islam dilarang untuk membunuh orang tua yang uzur, orang perempuan yang tidak ikut dalam peperangan, kanak-kanak kecil, mereka yang berada di dalam rumah ibadat dan memusnahkan tanam-tanaman secara sewenang-wenangnya. Keadaan ini tidak terdapat dalam ajaran agama lain tetapi dalam Islam telah menetapkan sifat ini demi kesejahteraan manusia dan alam semesta.

Selain dari sifat universal itu, ciri-ciri asas Islam itu sendiri menjelaskan bahawa Islam yang menjadi al Din bagi manusia sejagat itu mempunyai ciri-ciri seperti berikut :

1. Tauhid :
Keesaan tauhid dan kesatuan akidah yang terdapat di dalam Islam telah mengujudkan kesatuan ummah. Kesatuan tauhid ini membolehkan manusia berinteraksi di antara satu sama lain tanpa ada keraguan. Penghayatan tauhid ini membolehkan manusia berhubung di antara satu sama lain secara terbuka.

2. Ibadat :
Ibadat dalam Islam bukan sahaja menekankan aspek ritual sahaja atau aspek kerohanian semata-mata tetapi juga dalam aspek kehidupan seharian sekiranya dilakukan mengikut syarat-syarat tertentu. Di samping itu, ibadat dalam Islam menekankan jasmani dan rohani, roh dan jasad, zahir dan batin. Ibadat dalam Islam juga menekankan kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat.
3. Persaudaraan :
Asas persaudaraan dalam Islam itu merujuk kepada asal kejadian manusia dari satu keturunan iaitu berasal dari kejadian tanah dan kemudiannya dari keturunan yang satu juga iaitu dari keturunan Nabi Adam AS dan Hawa. Selain dari itu, persaudaraan dalam Islam itu berteraskan keimanan kepada Allah SWT dan bukan berdasarkan keturunan semata-mata atau berasaskan bangsa atau negara. Asas ini menjadikan persaudaraan Islam lebih teguh dan luas tanpa batasan dan tanpa sempadan negara atau warna kulit.

4. Ilmu Pengetahuan :
Islam diasaskan dengan menekankan ilmu pengetahuan. Ini terbukti dengan pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW menekankan ilmu pengetahuan iaitu aspek membaca dan al qalam. Melalui wahyu yang pertama ini menjelaskan penekanan ilmu pengetahuan dalam Islam. Ilmu merupakan satu amanah dan rahmat yang patut disyukuri untuk digunakan dalam melaksanakan tanggungjawab khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini. Ilmu dalam di dalam Islam mempunyai pelbagai bidang dan menyeluruh selagi ianya tidak bercanggah dengan Islam akan dimanfaatkan ilmu itu dalam Islam.  Ianya meliputi bidang spiritual, mental, fizikal, kemasyarakatan, kenegaraan, sains dan teknologi.

5. Keadilan :
Oleh kerana Islam adalah agama semawi yang datang dari Allah SWT yang bersifat maha adil dan maha bijaksana, sudah tentulah Islam itu bersifat adil. Ajaran Islam adalah adil kepada semua makhluk Allah SWT sama ada haiwan, tumbuh-tumbuhan atau manusia itu sendiri. Ianya meletakan keadilan itu berdasarkan fitrah kejadian makhluk itu sendiri.

No comments:

Post a Comment